Selasa, 19 Julai 2011

Syahrir miliki label sendiri sendiri

Rujukan : Utusan Online

TIDAK menjadikan bidang rekaan fesyen sebagai pilihan pertama setelah menamatkan pengajian, sebaliknya siswazah lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini memanfaatkan segala ilmu dengan melibatkan diri dalam dunia rekaan kostum dan maskot.

Walaupun memiliki segulung ijazah dalam jurusan Seni Reka Fesyen, tetapi anak kelahiran Sungai Buloh, Selangor, ini merasakan peluang dan kecenderungannya dalam aliran kostum dan maskot lebih menyerlah jika dibandingkan dengan rekaan-rekaan glamor.

Pemilik nama Syahrir Nurdin ini bagaimanapun tidak melupakan 'asal usulnya' apabila kembali berpijak di bumi nyata pada tahun 2006 dengan kembali terlibat sepenuhnya dalam rekaan busana.

Ketika itulah segala-galanya bermula dan hingga kini Syahrir tidak lagi menoleh ke belakang dan kesungguhannya terbukti apabila butik pertamanya dibuka di Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor, pada tahun 2008.

Menurutnya, hari ini kesemua koleksinya dilabelkan di bawah namanya sendiri iaitu Syahrir Nurdin.

Apa yang menarik mengenai Syahrir ialah, ketika belajar beliau mengambil pengkhususan dalam pakaian lelaki, tetapi sekarang lebih cenderung menghasilkan busana wanita.

"Busana lelaki tidak banyak yang perlu diterokai kerana kebanyakan rekaan fesyennya tidak jauh berbeza," ujar anak keenam daripada tujuh beradik ini.

Bagi anak muda yang berusia 35 tahun ini, walaupun kini aktif menghasilkan busana wanita, dia tidak menafikan satu hari nanti dia akan kembali menghasilkan rekaan-rekaan untuk busana lelaki.

Lagi satu keistimewaan yang harus dikongsi bersama mengenai Syahrir ialah dia seorang anak muda yang gemar melakukan kerja-kerja kreatif.

Kerja-kerja kreatif yang dimaksudkan ialah tampalan serta gabungan fabrik dan juga menjahit manik.

Terkenal dengan rekaan yang ringkas, praktikal dan anggun, bagaimanapun menurut Syahrir, dia akan pastikan segala rekaan yang dihasilkan mengikut keperluan (majlis yang ingin dihadiri) dan usia pelanggannya.

Dalam masa yang sama, setiap rekaan yang dihasilkan Syahrir pastinya akan disulami dengan warna-warna kegemarannya seperti warna butter yellow, fuschia dan burn orange.

Selain bermain dengan warna-warna pilihan, seperti pereka lain, Syahrir juga mempunyai fabrik kegemaran seperti dutches satin kerana kain tersebut ada 'volume' dan tidak terlalu kilat serta tahan lasak.

Kini jenama Syahrir Nurdin bukan sekadar jenama busana wanita malah ia turut menghasilkan busana-busana untuk pasangan pengantin.

Bagi mereka yang menggayakan sentuhan Syahrir hubungi talian 03-58806883 untuk keterangan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan