PERBADANAN Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yakin dapat menambah kira-kira 500 lagi perantis tahun ini di bawah Program Siswazah Perantis (PSP) yang diperkenalkan sejak Mac 2009.
Pengurus Besar Bahagian Pelaburan PUNB, Dzulkifli Fadzilah berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai memandangkan ia peluang terbaik untuk lepasan siswazah menceburi bidang keusahawanan.
Katanya, syarat menyertai program PSP juga sangat mudah iaitu perlu berusia tidak melebihi 30 tahun sewaktu memohon dan pemegang ijazah, diploma atau Sijil Kemahiran (Tahap 2) dari institusi diiktiraf kerajaan.
“Syarat lain adalah tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berminat menjadi usahawan serta sanggup menjalani latihan sepenuh masa dan perantis juga diberi pendedahan dalam mengurus perniagaan secara langsung selain menerima elaun sara diri RM800 sebulan.
“Perantis dibimbing selama enam atau 12 bulan. Selepas tamat program, mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan dipanggil bagi sesi konsultansi untuk menyediakan rancangan perniagaan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, setakat November 2010, seramai 2,473 siswazah menyertai program itu dengan purata usia 25 tahun.
Dzulkifli berkata, kelebihan program ini adalah perantis berpeluang mendalami selok-belok perniagaan di samping latihan teori dan amali keusahawanan serta kursus penyediaan rancangan perniagaan. Malah, jika memenuhi syarat, perantis layak mendapat pembiayaan khususnya Skim Prosper Siswazah untuk memulakan perniagaan sendiri.
Beliau berkata, mentor yang dipilih membimbing perantis juga sebahagian besarnya terdiri daripada syarikat dan perniagaan di bawah naungan PUNB selain syarikat lain yang sedia bekerjasama dengan PUNB.
“Peserta program ini berpeluang meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tertentu sebagai persediaan menjadi usahawan ataupun sebagai pekerja mahir.
Program ini bukan saja dapat melahirkan bakal usahawan dinamik, tetapi juga pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang peruncitan, pengedaran dan pengilangan. “Ia juga memberi peluang kepada siswazah muda menceburi bidang perniagaan khususnya bidang peruncitan dan pengedaran selain menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan kepada golongan siswazah,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan, mereka yang berminat boleh menghubungi talian bebas tol PUNB, 1300-13-7862 atau melayari www.punb.com.my.
Oleh yang demikian.... bakal pelajar /pelajar yang sedang belajar di Pusat Bertauliah terutamanya di Kolej Unikop Cawangan Melaka jangan lepaskan peluang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan