Sumber Harian Metro:-15/07/2010
KUALA LUMPUR:
KUALA LUMPUR:
Semua lapisan masyarakat termasuk pelajar dan golongan bekerjaya berpeluang memperoleh sijil kemahiran dalam tempoh lebih singkat iaitu antara tiga hingga enam bulan berbanding dua tahun sebelum ini.
Sijil itu diiktiraf setaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua dan tiga ditawarkan Kolej Komuniti mulai tahun ini, menerusi program Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan di bawah program pengukuhan institusi kolej terbabit yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, semalam.
Muhyiddin berkata, dengan pelaksanaan program itu akan memperlihatkan Kolej Komuniti sebagai institusi pendidikan sepanjang hayat yang inklusif selain menjadi pusat pembentukan masyarakat berkemahiran tinggi dan berpengetahuan.
“Ketika kita menuju negara maju, kerajaan menetapkan sasaran untuk meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23 peratus sekarang kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang 2015.
“Jadi, melalui penyediaan program latihan berasaskan kemahiran seperti ini, segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan kaum berpeluang mendapat akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti dalam negara.
“Saya percaya menerusi program yang lebih fokus dalam tempoh lebih singkat, Kolej Komuniti akan menjadi pemangkin utama kepada usaha kita membentuk masyarakat berkemahiran tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pengukuhan Institusi Kolej Komuniti di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Dr Hou Kok Chung serta Datuk Saifuddin Abdullah. Beliau turut menggesa warga kolej supaya sentiasa bertindak secara proaktif dalam melakukan inovasi pembangunan kurikulum, latihan sumber manusia, pemantapan struktur dan tadbir urus institusi serta pengukuhan kerjasama antara institusi dan industri.
Katanya, semua itu penting untuk memastikan matlamat program pengukuhan yang mahu memberi peluang dan laluan alternatif kepada semua pihak khususnya pelajar lepasan menengah yang tercicir daripada pendidikan formal dapat dicapai sepenuhnya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, buat masa ini terdapat 47 kursus modular merangkumi sembilan sektor utama pasaran ditawarkan Kolej Komuniti dengan 50,000 tempat disediakan tahun ini sebelum diperluaskan ke 80,000 tahun depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan