Alhamdulillah...
Sebagaimana yang direncanakan.. pada jam 11 tengah hari pagi tadi (29/7) telah diadakan satu majlis bacaan yaasin, tahlil dan ceramah Ihya Ramadhan yang diketuai oleh Ustad Idris Bin Abdullah ( Tenaga Pengajar Kolej Unikop Cawangan Melaka) bersama-sama dengan Pengurus Kolej Unikop Melaka, kakitangan dan pelajar-pelajar.
Berikut adalah intipati ceramah yang telah disampaikan diharap menjadi pengajaran dan amalan kita semua untuk menyambut Ramadhan yang bakal tiba ini
1. Bulan ramadhan sebagai bulan penuh Keberkatan dan Rahmat Allah s.w.t sepatutnya digunakan sebagai bulan untuk merebut peluang menjadi Umat Islam yang lebih bertakwa.
2. Untuk menjadi manusia bertakwa kita perlu memperbetulkan niat untuk berpuasa. Kita mulakan dengan niat untuk berpuasa harian dan bulanan
3. Kita juga perlu Menjaga 7 anggota . Yang dimaksudkan dengan 7 anggota termasuk tangan, kaki, telinga, mulut, lidah, perut dan kemaluan
a) Menjaga Mata.
Pandanganlah paling banyak mengalih manusia kepada maksiat dari itu haruslah berjaga-jaga dalam pandangan mata kita kerana mata akan dipertanggungjawabkan ke atas manusia yang tidak menjaganya dari maksiat. Elakkanlah dari mengintai keaiban orang lain. Tutuplah aib orang jika ianya mendatangkan kemudaratan dan jauhkan dari penyelidikan. Ingatlah pandangan itu adalah pandangan anak iblis. Meninggalkan pandangan tidak elok dengan penuh keimanan kepada Allah nescaya Allah akan campakkan kelazatan iman dalam diri kita kepada Allah SWT.
b) Menjaga Telinga.
Pendengaran kita ada kait mengait dengan mata dan mulut maka kalau sesuatu yang tidak boleh dipandang mata, maka mulut dan telinga (pendengaran) turut sama tidak boleh terlibat. Tiada anggota yang boleh mendatangkan kecederaan yang sangat parah kepada jasad selain mata dan mulut ialah pendengaran. Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya orang yang mendengar (seseorang yang mengumpat orang lain) adalah bersekutu (di dalam dosa) dengan orang yang berkata itu. Dan dia juga dikira salah seorang daripada dua orang yang mengumpat."
c) Menjaga lidah.
Lidah adalah anggota yang paling berkesan ke atas diri sendiri dan juga terhadap orang lain. Hendaklah kita bersedia untuk bercakap benar dan carilah cara yang terbaik untuk tidak menyakiti orang lain dengan lidah baik secara terang atau secara sembunyi dan berusahalah untuk meninggalkan bercakap lebih-lebihan. Berapa ramai nanti manusia yang akan dihumban ke dalam api neraka dengan sebab jenayah lidah mereka. Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya seseorang itu terkadang bercakap dengan satu percakapan dengan tujuan supaya orang lain menjadi tertawa dari sebab percakapannya itu. Dia tidak menyangka bahawa perkataannya itu akan menyebabkan dirinya dihumbankan ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun." - Riwayat At Tirmizi daripada Abu Hurairah R.A. Pesan Nabi s.a.w lagi, "Barangsiapa yang boleh menjamin bagiku akan lidah dan kemaluannya maka aku akan jamin syurga baginya."
d) Menjaga perut.
Memelihara daripada memakan makanan yang haram atau yang syubahat ATAU berlebihan dalam memakan yang halal. Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, "Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah." Sahabat Nabi s.a.w., Abdullah b. Mas'ud berkata, Empat perkara yang menggelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan."
e) Menjaga Kemaluan.
Menjaga kemaluan daripada apa-apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. :"Dan mereka yang selalu menjaga kemaluan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau apa-apa yang mereka miliki (daripada hamba jariah) maka mereka tidak tercela." Surah Al Mukminun : Ayat 5-6.
f) Menjaga Dua Tangan.
Menjaga kedua tangan daripada memukul seseorang muslim dan daripada mencapai sesuatu yang diharamkan atau menyakiti sebarang makhluk Allah atau menulis sesuatu yang diharamkan atau menyakiti perasaan orang lain. Apabila kamu mempunyai kuasa janganlah gunakan ianya untuk menyakiti orang bawahan kamu atau kepentingan kamu sendiri, kerana kuasa yang ada pada tangan kamu itu akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
g) Menjaga Dua Kaki.
Memelihara kedua kaki dari berjalan ke tempat yang diharamkan atau berjalan menuju kepada pemerintah yang zalim tanpa ada darurat atau paksaan kerana dianggap menghormati di atas kezaliman mereka, sedangkan Allah menyuruh kita berpaling daripada orang yang zalim. Firman Allah S.W.T. : "Dan jangan kamu cenderung hati kepada orang yang zalim, nanti kamu akan disentuk oleh api neraka." - Surah Hud : ayat 113.
Kesimpulannya : Apabila kamu menggunakan anggota tubuh kamu bagi tujuan yang lain daripada yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. bermakna kamu tidak bersyukur (kufur) terhadap nikmat yang diberikan Nya kepada kamu. Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang Ahmaq (bodoh) ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah S.W.T. (berangan untuk mendapatkan kebaikan di akhirat dan pengampunan tetapi ia tidak mahu beramal atau bertaubat). - Riwayat At Tirmizi.Petikan dari Bidayatul Hidayah (Imam Al Ghazali)
"Aku tinggalkan dikalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua nya, iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah S.A.W." - (Imam Malik)
4. Pelihara dan jaga hati . Banyakkan berzikir
5. Lakukan perubahan terutama dikalangan ahli keluarga terlebih dahulu. Digalakkan berbuka, bersahur, solat jemaah bersama-sama seisi keluarga.
6. Usahakan pada malam 10 yang terakhir menghadirkan diri ke Masjid dan berusaha mendapatkan malam lailatulqadar..jangan pulak sibuk buat kuih raya dan fikirkan tentang hendak sambut raya sahaja.
7. Memperbanyakkan membaca Al-Quran
8. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
9. Melakukan solat sunat tarawih
10. Banyakkan bersedekah
Diakhir majlis tadi di buat sedikit jamuan makan nasi ayam dan buah-buahan. Semua yang hadir turut diberikan sedikit buah tangan cenderahati berupa surah yaasin dan coklat.
Semoga ramadhan Tahun 2011 ini menjadi ramadhan terbaik dan berkualiti yang dapat tingkatkan iman, amal dan ketakwaan kita semua....amin
Diumumkan juga..Isnin ini (1/8) Kolej Unikop Cawangan Melaka akan bercuti umum. Harap maklum
Wassalam..
Pn CtNorNabila
Tiada ulasan:
Catat Ulasan